Friday 13 December 2013

Menilai Kejumudan Taqlid

Menurut catatan sejarah bahwa pintu ijtihad telah tertutup rapat selepas terdirinya mazhab fiqh terutamanya empat mazhab yang kekal hingga sekarang iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali. Setelah meninggalnya para Imam mazhab tersebut mulai pudarlah semangat ijtihad.Para ulama tidak lagi menggali sumber hukum dari Al Quran dan Al Hadis secara langsung tetapi mencukupkan saja dengan pendapat para Imam mereka masing masing.Ulama pendukung mazhab belajar tentang mazhab masing masing, hujjah Imamnya serta mencari hujjah tambahan buat menyokong ketetapan yang ada tanpa mahu meneliti hujjah golongan lain. Disini bermulalah zaman taqlid kerana sebahagian ulama memberi fatwa agar menutup sahaja pintu ijtihad kerana mereka beranggapan bahwa tiada lagi ulama yang mampu berijtihad mutlaq.Akibatnya menimbulkan kebekuan hukum Islam itu sendiri dan semakin lemah semangat ulama untuk mengambilnya dari sumber asli. Bahkan mereka berbangga dan taksub dengan mazhab masing masing dan tidak mahu menilai kembali pendapat pendapat yang bertentangan.Kejumudan mereka untuk berfikir secara kritis telah merugikan agama Islam sendiri sedangkan Al Quran dan Alhadis menganjurkan umat untuk berfikir dalam mencari kebenaran.

Zaman taqlid berlangsung selama tiga abad  selepas itu iaitu disekitar abad keempat hingga abad keenam dimana amat sedikit ulama berijtihad mutlaq itu pun disekitar masalah yang belum timbul dalam mazhab masing-masing. Para ulama pendukung mazhab lebih memberi perhatian kepada masalah yang telah ditetapkan oleh Imam mereka walau pun ada diantara mereka mampu melakukan ijtihad mutlaq dengan pemikiran yang bebas tidak terpengaruh dengan mazhab.Kemudian disekitar abad ketujuh hingga kini zaman taqlid mula ditinggalkan secara beransur-ansur apabila datang ulama-ulama yang menilai kembali pendapat yang bertentangan melalui penelitian mereka dalam Al Quran dan Al Hadis, Mereka membahaskan semua hujjah dari berbagai mazhab atau golongan yang berpaksikan Al Quran dan Ilmu Hadis secara mendalam dan mentahqiknya. Sehingga kini ijtihad berjalan terus kerana keperluan menghadapi persoalan baru yang sering muncul dalam bidang kenegaraan, sosial, ekonomi dan sebagainya.

Disini aku mengajak anda untuk menilai kembali kedudukan taqlid yang telah menjadi darah daging di kalangan umat kini. Mereka juga malas berfikir masalah agama yang mereka sangka amat rumit dan tak perlu di kaji kerana bertaqlid kepada alim ulama itu wajib. Banyak hujjah yang di beri untuk menyokong pendirian muqallid yang terdiri dari para alim ulama sendiri dan golongan awam.Bukan tujuan ku untuk membincangkan nya kerana ianya terlalu panjang mungkin menjadi sebuah buku pula.

Bagiku bertaqlid membuatku malas berfikir untuk mencari kebenaran sesuatu isu yang di debatkan dan muqallid berasa cukup dengan hujah golongan mereka tanpa mahu memikirkannya dengan serius. Ada yang taqsub pula akan berkonfrantasi dengan golongan lawan, maka timbul serangan emosi dan fitnah dikalangan umat Islam.Timbul puak puak dalam Islam seperti sabda Nabi s.a.w dimana umatnya menjadi 73 atau 74 firqah sama seperti Yahudi dan Nasara.

Bukan saja di kalangan orang awam bahkan penyakit taqlid ini amat melekat pada golongan alim ulama yang merasa tidak senang terhadap golongan lain yang meninggalkan fahaman mazhab. Timbul fatwa sekiranya meninggalkan mazhab akan jadi sesat atau golongan yang tidak mahu mengamalkan mazhab yang empat iaitu Hanafi, Maliki, Syafie dan Hambali sama sesat dengan Syiah, kaum Mujassimah, Muqtazilah dan lain lain label yang bunyinya amat menggerunkan walau pun mereka sendiri tak kenal golongan sesat itu. Mereka beranggapan orang yang meninggalkan mazhab pakai syok sendiri mengambil Al Quran dan Al Hadis sesuka hati. Apakah tuduhan dan anggapan mereka ini benar?


Tuesday 10 December 2013

Menggugah Pintu Ijtihad

Agak menggerunkan bagi setengah golongan awam apabila di sebut 'ijtihad'. Tentu ianya agak janggal bagi mereka untuk membicarakannya kerana bidang ini hanya di sentuh oleh orang yang arif iaitu golongan ulama atau ustaz atau agamawan. Bukan maksud ku untuk berijtihad  tetapi untuk mengetuk dan menggugah mindamu supaya mengenal barang ijtihad ini dan memikirkannya dalam kontak beribadah kepada Allah s.w.t.. Umumnya, masyarakat Islam berpendirian bahwa pintu ijtihad telah tertutup rapat sejak terdirinya mazhab mazhab dalam fiqh yakni Hanafi, Maliki,Syafie dan Hambali.

Benarkah pintu ijtihad sudah di tutup dan siapakah yang menutupnya? Persoalan ijtihad ini sebenarnya berkait rapat dengan satu lagi isu iaitu taqlid yang masih kutang didifahami oleh masyarakat.

Apakah erti ijtihad? Menurut bahasa secara umum ijtihad ialah pencurahan segala usaha seseorang untuk mendapatkan sesuatu dari berbagai urusan atau perbuatan, Kebanyakan ahli usul memberi erti pencurahan segala usaha untuk mendapatkan hukum syara yang tidak ada nashnya atau berdasarkan dalil nash yang zanni. Juga maksudnya meliputi masalah yang tidak ditunjuk hukumnya oleh sesuatu nash secara langsung.Ijtihad telah terjadi di zaman sahabat, tabiin dan tabiut tabiin dan hasil ijtihad mereka ada sebahagiannya berbeda diantara satu dengan yang lain.Antara ijtihad sahabah ialah menetapkan pengumpulan musyaf Al Quran, menetukan had orang yang minum khamar, memerangi orang yang ingkar membayar zakat pada masa pemerintahan Khalifah Abu Bakar dan sebagainya.

Disebaliknya ulama menetapkan tidak boleh mengadakan ijtihad pada sesuatu masalah dimana telah ada nash yang tegas.

Terdapat banyak perdebatan tentang ijtihad di kalangan ulama sejak dahulu hingga sekarang. Ada yang menyetujui dan ada pula yang menentangnya. Banyak syarat dan argumentasi untuk sesiapa yang ingin berijtihad tetapi aku tidak berniat membicaranya kerana ianya terlalu panjang bahkan tanpa kesudahan.

Sebenarnya pembahasan tentang konsep ijtihad ini terlalu akademik. Aku lebih memahaminya dari sudut pengertian bahasa yang aku nampak lebih praktikal dan meyakinkan untuk orang awam. Apabila seseorang itu berhadapan dengan sesuatu isu agama yang saling bertentangan pendapat, dia boleh 'berijtihad' untuk dirinya sendiri dengan memilih pendapat ulama yang paling kuat atau tarjih diantara pendapat yang berbeda-beda dalam sesuatu masalah..Disini dia bebas memilih tanpa terikat dengan aliran atau kelompok tertentu. Keputusannya hendaklah berdasarkan pendapat atau hujah pihak pihak yang bertentangan itu di kaji terlebih dahulu sehingga ia benar-benar memahaminya.Jika tidak demikian, bagaimana seseorang itu yakin akan pendiriannya terutama sekali bila ditanya alasan atau hujjah yang menyokong pilihannya?

Tiba-tiba terngiang-ngiang ditelingaku suara yang  menyanggahku berkata 'wahai saudara! Apa yang kau kata ni sebenarnya kau sedang bertaqlid kepada ulama dan bukan berijtihad! Ijtihad itu untuk ulama-ulama yang ahli sahaja dan kau orang awam yang wajib bertaqlid!'

Terima kasih!. Memang aku setuju kalau tidak mampu berijtihad seperti yang dikehendakki oleh maksud syara maknanya seseorang itu terpaksa bertaqlid sajalah. Awas!Bukankah telah aku katakan bahwa aku memakai makna ijtihad dari sudut bahasa sahaja?.Ijtihadku ialah memilih pandangan paling kuat atau tarjih setelah aku berusaha mengkaji dan memahaminya dulu. Maknanya aku mengambil semangat ijtihad walau pun aku tidak berijtihad dalam erti syarie.






Monday 9 December 2013

Ku Buka Gelanggang Minda!

Aku menulis ini bukan kerana nama.....tetapi kebenaran yang ku cari. Aku tahu sememangnya akan datang gegak gempita, halilintar dan fitnah zaman yang tidak akan padam hingga hari Qiamat.

Ku buka gelanggang minda ini untuk mengetuk pintu ijtihad di kalangan kita umat akhir zaman ini. Semoga Allah s.w.t jua yang akan memberi hidayah kepada siapa yang Dia kehendaki.

Memang di akui oleh ulama sepanjang zaman mengapa kita umat yang satu tetapi bercerai berai hingga menjadi 73 atau 74 puak sama seperti kaum Yahudi dan Nasrani. Adalah benar, doa Nabi s.a.w supaya umatnya tidak berpecah kelak, tidak di makbulkan Allah s.w.t. Tidak ada apa yang boleh dibuat kerana ianya Sunnah Allah s.w.t. Tetapi jangan kita panik kerana Allah s.w.t telah berfirman yang kita wajib kembali kepada Al-Quran dan RasulNya apabila terjadi perselisihan kelak.

Bertitik-tolak dari sinilah aku senantiasa melihat kepada siapa yang berkata benar atau salah atau keliru dalam semua isu lebih-lebih lagi dalam kontak ibadat yang merangkumi perintah dan larangan Allah s.w.t dan RasulNya s.a.w.

Aku bebas untuk memilih pendapat siapakah yang aku dapati lebih benar mendekati Al-Quran dan Al-Hadis. Jika sesuatu pendapat yang ku dapati lemah, keliru dan bercirikan menegak benang basah, akan ku tinggalkan begitu saja Jadi, aku berharap sesiapa disana jangan memaksa aku menerima pendapatmu. Perlu diingatkan bahawa aku tidak mahu bertaqlid kepada orangnya tetapi pendapatnya. Misalnya jika ada satu isu yang dibicarakan itu menunjukan pendapat A lebih kuat daripada B akan ku ikuti A. Mungkin pula dalam isu berlainan pendapat B lebih benar maka wajib bagi diriku memihak kepada B. Disini bukan bertaqlid buta kepada orangnya tetapi pendapatnya. Oleh itu, amat jelas bagi sesiapa yang hendak menilai pendirianku.